JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penemuan tapak baharu yang mengandungi emas dan tembaga di wilayah Madinah.
Berdasarkan Kajian Geologi Saudi yang diwakili Pusat Kajian dan Penerokaan Mineral, penemuan emas itu berada dalam sempadan kawasan Aba al-Raha, Umm al-Barrak Hejaz, wilayah Madinah.
Lapor Saudi Press Agency (SPA), penemuan tembaga juga dikesan di empat kawasan di wilayah Wadi al-Faraa yang juga terletak di Madinah.
Penemuan baharu itu dijangka menarik pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Arab Saudi.
Penemuan itu juga secara tidak langsung menambah senarai penemuan pada tahun ini, yang dilihat bakal mempercepatkan kadar pelaburan perlombongan di negara ini.
Penemuan tapak deposit bahan mineral berharga di pelbagai lokasi itu turut bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dengan menyaksikan kemasukan pelabur tempatan serta antarabangsa dalam sektor perlombongan.
Lokasi yang dikenal pasti itu dianggarkan boleh membawa pelaburan bernilai AS$533 juta (RM2.4 trilion) serta menawarkan peluang lebih 4,000 pekerjaan.
Pada Jun lalu, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan keutamaan negara ini adalah untuk sektor penyelidikan, termasuk pembangunan mampan dalam perlombongan.
Arab Saudi mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral berharga, sama ada dalam bentuk logam atau bukan logan, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata.