LONDON: Ramai penduduk di Britain berdepan kesukaran mengadakan majlis pengebumian untuk individu tersayang mereka, selepas pihak berkuasa bertindak menangguhkan perkhidmatan itu serta menutup tanah perkuburan sehingga upacara persemadian Ratu Elizabeth II.
Lapor Daily Mail, langkah mengehadkan beberapa perkhidmatan awam termasuk menutup bank makanan, menangguhkan majlis pengebumian dan membatalkan janji temu hospital menimbulkan masalah besar di seluruh negara itu.
Bagaimanapun, seorang sumber mendakwa Raja Charles III dan keluarga diraja `tidak mahu gangguan’ menjejaskan urusan harian penduduk ketika upacara persemadian Ratu Elizabeth berlangsung 19 September ini.
Meskipun tiada larangan rasmi ditetapkan, beberapa majlis perbandaran mengesahkan majlis pengebumian akan terjejas pada hari cuti umum sempena upacara persemadian Ratu Elizabeth II.
Malah, ada majlis perbandaran juga menjadualkan semula tarikh majlis pengebumian atas kehendak keluarga si mati.
Di Preston, majlis perbandaran mengesahkan dua tanah perkuburan dan krematorium akan ditutup sementara sampai upacara persemadian Ratu Elizabeth berlangsung.
Jurucakap pengurusan tanah perkuburan North Warford dan Vicarage Road di Watford memaklumkan tiada kakitangan akan bekerja di tapak perkuburan dan majlis pengebumian tidak akan dilakukan pada Isnin ini.
Di Luton pula, semua perkhidmatan majlis akan ditutup pada cuti umum sempena upacara persemadian Ratu Elizabeth II.
Majlis Daerah Caerphilly County di Wales mengumumkan semua pengebumian dirancang pada Isnin akan dijadualkan semula.
Bagaimanapun, jelasnya, semua tanah perkuburan perbandaran akan dibuka untuk akses orang ramai.
Majlis Perbandaran Birmingham memaklumkan tanah perkuburan dan krematorium akan dibuka kepada orang ramai namun beroperasi dalam kapasiti minimum.
“Tanah perkuburan akan dibuka seperti biasa dari pukul 8.30 pagi hingga 7 malam,” jelasnya.