Sembilan pendatang lemas ketika seberangi sungai mahu masuk AS - Utusan Malaysia

Sembilan pendatang lemas ketika seberangi sungai mahu masuk AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Pihak berkuasa sempadan di Amerika Syarikat (AS) dan Mexico berusaha mencari mangsa yang terselamat selepas sekurang-kurangnya sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) lemas ketika menyeberangi sungai Rio Grande.

Hujan lebat di kawasan itu menyebabkan percubaan mereka untuk melepasi sempadan lebih berbahaya berikutan paras air yang meningkat hampir satu meter dalam tempoh sehari.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dan pihak berkuasa Mexico menemukan mangsa berhampiran Eagle Pass, Texas, pada Khamis lalu susulan hujan lebat sejak beberapa hari.

CBP dalam kenyataan berkata, pihaknya menemukan enam mayat, sementara tiga lagi ditemukan pasukan keselamatan Mexico.

Insiden itu merupakan kes kematian akibat lemas paling buruk dalam sejarah yang pernah berlaku di sempadan AS-Mexico.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menjelaskan, sungai sedalam kira-kira satu meter pada awal minggu, mencapai lebih 1.5 meter pada Khamis lalu dengan arus air lima kali lebih laju berbanding biasa.

CBP berkata, kru AS berjaya menyelamatkan 37 mangsa lain dari sungai serta menahan 16 lagi, sementara pihak berkuasa Mexico pula menahan 39 PATI.

CBP bagaimanapun tidak memperincikan negara asal PATI terbabit serta tidak memberikan sebarang maklumat tambahan mengenai operasi mencari dan menyelamat.

Agensi menyelamat tempatan di Texas yang terbabit dalam operasi juga tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Antara mayat yang ditemukan oleh pihak berkuasa Mexico ialah seorang lelaki dan seorang wanita hamil, namun kewarganegaraan mereka tidak diketahui. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya