SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah di bawah kelolaan Singapore Airlines, Scoot melancarkan pesawat dengan konsep bertemakan animasi kegemaran kanak-kanak, Pokemon.
Para peminat siri kartun terkenal itu kini berpeluang melakukan penerbangan sambil menikmati pengalaman unik dengan menaiki pesawat Pikachu.
Memetik laporan Daily Mail, pesawat Pikachu itu didatangi dengan hidangan makanan, hiasan, cenderamata dan barangan bertemakan Pokemon.
Lapangan Terbang Changi memuat naik beberapa gambar luaran dan kabin pesawat Pikachu yang eksklusif dalam media sosialnya.
Pesawat Pikachu itu ketika ini hanya melakukan penerbangan antara Singapura, Tokyo dan Seoul.
Pesawat berwarna-warni itu menampilkan hiasan luar dengan watak-watak berbeza dari siri kartun itu dan Poke Balls.
“Bahagian dalam pesawat pula dihiasi pelekat Pikachu pada tempat duduk dan dinding kapal,” jelas laporan itu.
Scoot merupakan syarikat penerbangan ASEAN pertama yang menawarkan suasana bertemakan Pokemon dalam penerbangan di luar Jepun.
Penerbangan pertama pesawat Pikachu akan berlepas pada 9 September ini dan kini boleh ditempah untuk perjalanan bulan ini dan Oktober depan.
Sementara itu, rata-rata warganet menzahirkan rasa teruja dan `tidak sabar’ untuk menaiki pesawat bertemakan Pokemon itu.
Malah, ada dalam kalangan pengguna media sosial turut berkongsi maklumat lokasi pesawat Pikachu semasa perjalanan mereka.