BANGKOK: Seorang peserta ratu cantik Myanmar tidak dibenarkan memasuki Thailand atas dakwaan pernah menyampaikan ucapan menentang rampasan kuasa tentera sebelum ini.
Han Lay, 23, dinafikan penyertaannya selepas tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Vietnam, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Jabatan Imigresen menafikan dakwaan bekas pemenang Miss Grand International Myanmar 2020 mengenai dirinya yang ditahan pihak berkuasa.
“Mengikut Seksyen 12 (1) Akta Imigresen, pihak berkuasa mendapati Han Lay tidak mempunyai visa sah untuk memasuki Thailand.
“Perjanjian telah dibuat dengan syarikat penerbangan untuk dia menaiki penerbangan keluar dari Thailand,” kata kenyataan itu.
Han Lay antara 20 finalis terbaik di Miss Grand International di Bangkok tahun lalu, menarik perhatian dunia apabila dia meminta bantuan segera untuk rakyat Myanmar yang ditindas, susulan rampasan kuasa junta tentera 1 Februari 2021.
Wanita itu merupakan pelajar jurusan psikologi di Universiti Yangon memutuskan untuk menyertai pertandingan ratu cantik sebagai platform menyuarakan tentang tanah airnya di peringkat antarabangsa.
Berikut merupakan petikan ucapan Lay yang pernah mencetuskan kontroversi semasa pertandingan ratu cantik yang dianjurkan tahun lalu di Thailand:
“Hari ini di negara saya, Myanmar.. terlalu ramai rakyat biasa sudah mati.
“Tolonglah bantu Myanmar. Kami perlukan bantuan antarabangsa segera,” katanya.-REUTERS