BIRMINGHAM: Anggota polis yang baru direkrut dibenarkan membawa siput babi ketika bertugas dalam usaha membantu mengurangkan perasaan cemas.
Lapor Daily Mail, siput babi bernama Sid disimpan dalam kotak kadbod di Balai Polis Bournville, Birmingham.
Namun, beberapa anggota polis lain dilaporkan kurang senang dengan tindakan tersebut.
Bagaimanapun, Polis West Midlands tidak menerima sebarang aduan kerana mengamalkan dasar ‘kesejahteraan’ tidak rasmi yang dilaksanakan dalam usaha memastikan anggota baharu yang direkrut lulus menjalani latihan.
Bekas anggota polis, Peter Kirkham, 61, berasa geram apabila mendengar berita mengenai siput tersebut.
Katanya, balai polis bukan tempat menyimpan haiwan peliharaan seperti siput.
Namun, seorang pegawai polis lain menjelaskan tindakan tersebut tidak menyalahi undang-undang dan langkah itu merupakan satu terapi.
“Kita tidak mahu kembali ke zaman kegelapan kerana setiap orang perlu mendapatkan keseimbangan yang betul antara menjaga dan merekrut pegawai yang mampu melaksanakan tugas,” kata seorang pegawai.
Sebelum ini, tinjauan selepas pandemik Covid-19 mendapati lebih tiga suku daripada 12,471 pegawai berpangkat di Persekutuan Polis England dan Wales mengalami kesihatan mental pada tahun lalu.
Realitinya, menjadi anggota polis boleh jadi ‘menakutkan bagi segelintir orang’ sehingga boleh menyebabkan mereka meletak jawatan sebelum tamat latihan.
Di Bournville, terdapat 2,881 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh 12 bulan terakhir dengan peratusan tertinggi melibatkan keganasan dan kesalahan seksual.