JAKARTA: Jakarta mungkin menjadi satu daripada wilayah paling cepat tenggelam dalam tempoh akan datang di Indonesia akibat perubahan iklim dunia seperti kenaikan paras air laut, gelombang haba serta banjir.
Setiausaha Daerah Khusus Indonesia (DKI) Jakarta, Marullah Matali meminta pihak pemerintah di Jakarta Tengah bersiap sedia dengan jangkaan perubahan iklim tersebut.
“Bukan mencabar (perubahan iklim) tetapi mengurangkan kesannya sebaik mungkin,” katanya lapor Kompas.com.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Agensi Alam Sekitar DKI Jakarta, Asep Kuswanto berkata, kesan perubahan iklim mula dirasakan seperti tanah runtuh dan bajir di kawasan pantai Jakarta.
Jelasnya, langkah mitigasi bencana perlu dirancang segera bagi berhadapan segala kemungkinan yang akan berlaku.
“Kita lihat ia sudah berlaku sekarang. Paras air bawah tanah semakin rendah dan cuaca juga tidak menentu.
“Kami akan melakukan usaha mitigasi dan adaptasi, bagaimana kami di DKI terus mengeluarkan dasar supaya semua lapisan masyarakat dapat menyesuaikan diri dan mengurangkan risiko perubahan iklim,” katanya.