JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyatakan mesin permainan kaut atau ‘claw machine‘ haram digunakan dalam agama Islam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Fatwa MUI, Asrorun Ni’am Sholeh.
Katanya, permainan itu menjadi haram kerana dasarnya melibatkan kaedah ‘cuba nasib’ untuk mendapatkan hadiah yang disediakan.
“Permainan yang mengeluarkan duit untuk mendapatkan faedah atau hadiah, termasuk cara kaedahnya seperti mencuba nasib adalah haram.
“Fatwa berkaitan hal tersebut sudah dimasukkan ke dalam garis panduan permainan media atau mesin permainan yang di kelolakan oleh agensi rekreasi Indonesia,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Turut senada, Ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Anwar Abbas.
Katanya, permainan tersebut dikategorikan sama seperti berjudi kerana nilai asalnya tidak sama dengan duit yang dikeluarkan pengguna untuk mendapatkan hadiah.
“Hal itu berbeza ketika kita membuat pembelian secara langsung dengan penjual untuk mendapatkan barangan yang kita ingini.
“Menerusi mesin itu, kita perlu menukar token mengikut nilai yang ditetapkan dan mungkin perlu mencuba beberapa kali untuk mendapatkan patungnya, maka di situ timbul unsur judi yang menjadikannya haram,” ujarnya.