JAKARTA: Seorang penunggang perkhidmatan e-hailing terkejut selepas mendapat tempahan untuk membawa biawak untuk diserahkan kepada seorang pelanggan, di Jakarta, baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik dalam media sosial, kelihatan seorang penunggang teksi motosikal (ojek) membawa seekor biawak dan meletakkannya di bahagia belakang motosikalnya.
Heru Kurniawan memaklumkan, dia mendapat tempahan supaya menghantar biawak itu ke Cakung, Jakarta Timur.
“Saya berasa terkejut kerana ini kali pertama saya mendapat tempahan untuk membawa haiwan.
“Sebelum ini, saya pernah menghantar beberapa barangan yang disifatkan tidak sesuai dibawa menaiki ojek, seperti mesin basuh mudah alih yang besar.
“Namun, membawa biawak adalah lebih luar biasa,” katanya kepada Tribunnews.
Jelas Heru, dia menerima tempahan itu secara luar talian (offline) oleh seorang penduduk berhampiran warung yang dia singgah untuk berehat.
Katanya, lelaki itu bertanya kepadanya jika boleh menghantar barangan ke Cakung dan tanpa berfikir panjang, Heru menerima tempahan tersebut.
“Pada mulanya saya ingin mengikat biawak itu di belakang motosikal, namun haiwan itu bertindak agresif, menyebabkan saya hanya memegangnya menggunakan satu tangan.
“Saya menempuh perjalanan selama satu jam sehingga sampai ke destinasi,” ujarnya.