MAKASSAR: Datuk Bandar Makassar, Mohammad Ramdhan ‘Danny’ Pomanto meminta penjawat awam negeri menggunakan teksi motosikal dalam talian (Ojol) setiap Selasa bagi mengurangkan masalah kesesakan lot parkir.
Danny Pomanto berkata, isu parkir dapat diselesaikan sekiranya bilangan kenderaan di jalan dapat dikurangkan secara drastik.
“Sudah tentu inisiatif itu juga dapat menjimatkan minyak.
“Selama ini kawasan meletakkan kenderaan sesak. Selepas ramai naik Ojol parkir sudah makin kosong dan kawasan jalan juga nampak lengang,” katanya lapor Kompas.com.
Menurut beliau, selepas saranan itu, bilangan penumpang Bas Rapid Transit (BRT) juga semakin meningkat.
“Saya sudah terima laporan dari pihak BRT tentang bilangan penumpang yang bertambah kepada 500 orang.
“Jadi, pekerja yang rumahnya jauh akan naik BRT dahulu, kemudian baru naik Ojol bila sudah berdekatan pejabat Balai Kota Makassar,” katanya.
Danny berkata, pihaknya juga akan menerapkan kewajipan menggunakan pengangkutan awam selain Ojol.