ROME: Seorang pengantin lelaki mengalami patah tulang selangka selepas cuba melakukan penampilan dramatik dengan menunggang motor lasak pada majlis perkahwinannya.
Memetik laporan The Sun, rakaman video menunjukkan pengantin wanita dengan gaun perkahwinan kelihatan teruja menunggu kemunculan pasangannya di tepi jalan di Parma, Itali.
Malah, tetamu yang hadir pada majlis itu pula membunyikan hon dan bersorak gembira bagi menyambut ketibaan pengantin lelaki yang berhasrat melakukan penampilan berkenaan.
Bagaimanapun, ketika melakukan aksi tersebut, pengantin lelaki itu secara tiba-tiba hilang kawalan lalu tercampak dari motor lasak yang ditunggangnya.
Pengantin lelaki itu terhempas ke jalan sebelum berguling sehingga menyebabkannya terduduk terlentang.
Lelaki itu kemudian dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Pengantin lelaki itu juga terpaksa menerima lima jahitan akibat kecederaan di kepala.
Beberapa gambar tular dalam media sosial menunjukkan lelaki itu sedang dirawat oleh doktor, dengan isterinya yang memakai gaun perkahwinan di sisinya.