Pandemik Covid-19 hampir ke penghujung?  - Utusan Malaysia

Pandemik Covid-19 hampir ke penghujung? 

PENDUDUK berjalan melepasi lukisan mural menunjukkan petugas kesihatan memakai sut PPE untuk menyebarkan kesedaran mengenai pandemik Covid-19 di Mumbai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya akur pandemik Covid-19 sudah semakin hampir ke penghujung.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, dunia tidak pernah berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menamatkan pandemik Covid-19.

“Kita masih belum mencapai tahap itu lagi tetapi penghujungnya sudah ada di depan mata,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar maya. 

Kenyataan itu dilihat sebagai penilaian paling optimis dari agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sejak mengisytiharkan darurat kesihatan awam global pada Januari 2020 dan menggambarkan Covid-19 sebagai pandemik, tiga bulan kemudian.

Covid-19 yang mula dikesan di China pada akhir 2019 sudah meragut hampir 6.5 juta nyawa dan menjangkiti kira-kira 606 juta orang di seluruh dunia selain menjejaskan ekonomi global dan sistem kesihatan negara.

Pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 membantu membendung kes kematian dan bilangan kemasukan ke hospital.

Malah, agensi PBB itu memaklumkan kes kematian akibat jangkitan Covid-19 pada minggu lalu adalah paling rendah yang dilaporkan sejak Mac 2020.

Bagaimanapun, Ghebreyesus sekali lagi menggesa semua negara sentiasa mengambil langkah berwaspada. 

Beliau turut mengibaratkan pandemik itu sebagai perlumbaan maraton.    

“Inilah masanya untuk berlari lebih laju dan pastikan kita melepasi garisan dan meraih segala manfaat hasil daripada usaha keras kita semua,” katanya.

Jelas Ghebreyesus, semua negara perlu menilai dan mengukuhkan lagi dasar masing-masing dalam usaha menangani Covid-19 dan jangkitan virus lain pada masa depan. 

Beliau juga menggesa pemimpin negara untuk mempergiatkan pemberian vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi secara menyeluruh, selain kerap melakukan ujian saringan mengesan virus itu.  

Tambah Ghebreyesus, negara juga perlu sentiasa mempunyai bekalan peralatan perubatan dan petugas kesihatan yang mencukupi.

Dalam pada itu, pakar epidemiologi kanan WHO, Maria Van Kerkhove berkata, pihaknya menjangka dunia akan berdepan gelombang jangkitan pada masa hadapan.

“Ia berpotensi berlaku pada waktu berlainan di seluruh dunia disebabkan subvarian Omicron atau varian membimbangkan (VoC) yang berbeza,” katanya.

Dengan lebih sejuta kes kematian dilaporkan pada tahun ini sahaja, pandemik itu kekal sebagai darurat kesihatan awam global di kebanyakan negara.

MASIH MENULAR DI EROPAH 

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Eropah pula berpandangan gelombang jangkitan Covid-19 yang didorong oleh varian Omicron BA.4 dan BA.5 menunjukkan pandemik itu belum berakhir.    

Jelas jurucakap itu, hal ini kerana virus jangkitan itu didapati masih terus menular di Eropah.

Dalam pada itu, jurucakap WHO memaklumkan beberapa pakar agensi itu akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada pandemik itu akan terus dikekalkan sebagai darurat kesihatan awam global.   

Menurut jurucakap itu, mesyuarat berkenaan akan diadakan pada bulan depan. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya