Mikhail Gorbachev: Pemimpin Soviet hentikan perang dingin - Utusan Malaysia

Mikhail Gorbachev: Pemimpin Soviet hentikan perang dingin

MIKHAIL Gorbachev
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Mikhail Gorbachev meninggalkan legasi dengan menamatkan empayar Soviet yang sudah berkuasa selama 69 tahun selain mengakhiri Perang Dingin dengan Amerika Syarikat (AS) selama 44 tahun.

Gorbachev yang berkuasa antara 1985 dan 1991, merupakan pemimpin terakhir Perang Dingin
yang masih hidup.

Beliau pernah mengubah perjalanan sejarah moden dengan mencetuskan kejatuhan Kesatuan Soviet atau Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) selain membenarkan Eropah Timur berpecah membebaskan diri daripada pemerintahan Soviet.

Perubahan yang digerakkan menyaksikan beliau disenangi oleh Barat, namun dikecam kebanyakan rakyat Russia.

Malah, pembaharuan dikemukakan untuk mencapai `glasnost’ (keterbukaan) dan `perestroika’ (penstrukturan semula) menyebabkan situasi di Kesatuan Soviet semakin tidak stabil dan akhirnya runtuh pada 1991.

Gorbachev secara tidak sengaja melepaskan kuasa yang menyebabkan pembubaran Kesatuan Soviet dan penggulingan pemerintahannya sendiri.

Beliau dipuji di Barat kerana memperjuangkan kebebasan dan perubahan pada suatu ketika, selepas ramai khuatir Perang Dingin tidak akan berakhir.

Bagaimanapun, Gorbachev menjadi tokoh kebencian dalam kalangan warga Russia yang menganggapnya bertanggung jawab atas kemusnahan empayar Soviet yang pernah berkuasa.

Ketika berkuasa, Gorbachev memilih keamanan berbanding konfrontasi apabila berupaya menjalin kerjasama baik dengan Barat melalui hubungan rapat dengan beberapa pemimpin berpengaruh seperti Canselor Helmut Kohl dan Presiden AS, Ronald Reagan.

Bagaimanapun, beliau semakin diketepikan oleh Boris Yeltsin yang ketika itu merupakan pegawai Komunis yang semakin berpengaruh dalam politik.

Ketika USSR runtuh, Gorbachev sudah menjadi tidak relevan lagi.

HUBUNGAN KERUH PUTIN

Sepanjang sedekad lalu, hubungan Gorbachev dengan Presiden Russia, Vladimir Putin tidak
begitu baik.

Namun, pemimpin Russia itu tetap menzahirkan ucapan takziah atas kematian Gorbachev.

Presiden Soviet terakhir itu meninggal dunia di sebuah hospital di Moscow pada usia 91 tahun.

Beliau merupakan antara tokoh politik paling berpengaruh pada abad ke-20.

Pemimpin itu pernah menyeru Kremlin dan White House membaiki hubungan ketika ketegangan meningkat ke tahap Perang Dingin sejak Russia menguasai Crimea pada 2014 dan melancarkan serangan di Ukraine pada awal tahun ini.

Gorbachev pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1990 kerana menjadi perunding pakatan senjata nuklear bersejarah dengan Reagan.

PERANG DINGIN

Gorbachev memainkan peranan penting dalam menamatkan Perang Dingin tanpa pertumpahan
darah.

Beliau menjalin perjanjian pengurangan senjata dengan AS dan perkongsian dengan kuasa Barat untuk menghapuskan Tembok Berlin, titik pemisah blok Soviet dan Barat yang memisahkan Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan membawa penyatuan semula Jerman.

Bagaimanapun, pembaharuan dalaman yang meluas telah melemahkan Kesatuan Soviet sehingga runtuh yang disifatkan Putin sebagai `malapetaka geopolitik terbesar’ pada abad ke-20. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya