Lubnan hadapi krisis ekonomi teruk ?     - Utusan Malaysia

Lubnan hadapi krisis ekonomi teruk ?    

ANGGOTA keselamatan Lubnan berkawal di luar sebuah bank di Tariq al-Jdideh di Beirut susulan kejadian pendeposit merompak bank itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Lubnan kini berdepan krisis ekonomi yang kritikal sehingga ramai penduduk di negara itu terpaksa melakukan jenayah hanya untuk mendapatkan semula wang simpanan mereka di bank.

Sekurang-kurangnya lima buah bank berlainan di negara itu `diserang’ baru-baru ini, oleh pendeposit yang terdesak untuk mengeluarkan wang simpanan yang dibekukan.

Ia merupakan insiden terbaharu dalam rentetan rompakan demikian yang berlaku di negara itu.

Pihak pengurusan bank mengenakan sekatan terhadap para pendeposit yang mahu membuat pengeluaran wang sejak tiga tahun lalu.

Ia berikutan krisis ekonomi yang melanda Lubnan sejak 2019 sehingga nilai mata wang negara itu mengalami kemerosotan.

Malah, sehingga kini, kerajaan juga masih belum mewujudkan rangka kerja undang-undang untuk para pendeposit mendapatkan semula wang simpanan sehingga memaksa mereka melakukan jenayah demikian di negara berkenaan.

Dalam insiden rompakan bank baru-baru ini, pasukan anggota keselamatan berjaya mengawal situasi termasuk berunding dengan para pendeposit sehingga sejumlah individu tampil menyerah diri selepas wang mereka selamat sampai kepada keluarga mereka.

Rabu lalu, seorang wanita merompak sebuah bank di Beirut untuk mendapatkan wang simpanannya sendiri bagi membiayai rawatan hospital adik perempuannya yang menghidap kanser.

Sali Hafiz dilaporkan menggunakan pistol mainan dan berjaya keluar dengan membawa beribu-ribu dolar wang rompakan.

Pasukan keselamatan mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita itu dan dia masih diburu oleh polis. 

Pada hari yang sama juga, seorang lelaki turut merompak sebuah bank di bandar Aley timur laut Beirut namun dia telah ditangkap.

Media tempatan juga melaporkan lebih banyak bank di Nabatiyeh, Batroun dan Halba diserang oleh pendeposit yang mahu mengeluarkan wang simpanan sendiri.  

* TUJUH BANK JADI SASARAN

Persatuan Bank di Lubnan memaklumkan sebanyak tujuh cawangan bank menjadi sasaran ‘rompakan pendeposit’ sepanjang seminggu lalu, sekali gus mendorong bank mengumumkan penutupan selama tiga hari bermula Isnin depan.

Menurut persatuan itu, keputusan penutupan bank dibuat selepas rentetan serangan ke atas bank terutamanya membabitkan kakitangan bank.   

“Tindakan itu juga diambil selepas mengambil kira risiko dihadapi oleh pelanggan dalam cawangan yang diserang.

“Kami juga mahu melindungi kepentingan pendeposit dan `keganasan bukanlah satu-satunya penyelesaian,” jelasnya.

Dalam satu insiden, pendeposit bernama Mohammed Reda Korkmaz dan anaknya, Ibrahim menyerang cawangan Bank Byblos di Ghazieh sehingga berjaya mendapatkan wang simpanan AS$19,200 (RM87,072) dan menyerahkan kepada kenalan yang menunggu di luar premis.

Ketika kejadian, Korkmaz dikatakan menjadikan kakitangan bank sebagai tebusannya, selain bertindak menyimbah petrol dan mengugut untuk membakar premis itu sekiranya tidak mendapat semula wangnya.      

Bagaimanapun, Korkmaz dan anaknya akhirnya menyerah diri kepada polis di tempat kejadian

* GESA TAHAN INDIVIDU ROMPAK BANK  

Sementara itu, Pendakwa Raya Ghassan Oueidat menggesa pihak berkuasa menahan semua individu yang terbabit dalam rompakan bank itu.

Beliau menyifatkan ia sebagai rompakan bersenjata ke atas bank dengan tujuan menghentikan sektor perbankan di Lubnan daripada beroperasi sekali gus mencetuskan lebih banyak krisis kewangan dan ekonomi.

Oueidat juga menggesa polis menyiasat sama ada mana-mana rompakan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya