SYDNEY: Kerajaan Kepulauan Solomon melarang semua kapal tentera laut asing daripada memasuki perairan negaranya.
Perdana Menteri, Manesseh Sogavare berkata, keputusan itu dibuat sementara menunggu pelaksanaan prosedur baharu bagi mendapatkan kebenaran berlabuh dalam usaha mengawal zon ekonomi eksklusifnya secara lebih baik.
“Kerajaan sudah meminta rakan kongsi untuk memberi masa kepada kami untuk menyemak dan melaksanakan prosedur baharu sebelum menghantar permohonan membenarkan kapal tentera mereka memasuki negara ini.
“Ini terpakai kepada semua kapal tentera laut yang berlabuh di perairan ini,” katanya dalam kenyataan.
Langkah itu susulan insiden membabitkan Kapal Pengawal Pantai AS, Oliver Henry tidak dapat berlabuh seperti biasa selepas kerajaan ketika itu gagal memberi kebenaran untuk mengisi bahan api dan logistik.
Menurut Sogavare, beliau mahu membangunkan kapasiti untuk memantau zon ekonomi eksklusif negara kepulauan Pasifik itu.
Sementara itu, Sogavare ketika berucap menyambut kunjungan kapal hospital USNS Mercy, mendakwa isu kelewatan membabitkan Oliver Henry timbul disebabkan maklumat kapal itu tidak dihantar tepat pada masa ke pejabatnya.
Beliau juga mengaku berlaku kelewatan semasa proses kemasukan kapal tentera laut Britain, HMS Spey sehingga rancangannya dibatalkan.
Jelasnya, akibat dua insiden itu, pihaknya kini sedang mengkaji semula prosedur kemasukan berkenaan.