ROME: Enam pendatang warga Syria termasuk dua kanak-kanak kecil ditemukan maut di dalam sebuah bot yang tiba di Pelabuhan Sicily di Pozzallo, Itali.
Lapor Al Jazeera, perkara itu dimaklumkan oleh wakil Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) ke Itali, Chiara Cardoletti dalam ciapan di Twitter.
“Mereka meninggal dunia kerana kelaparan dan melecur teruk. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
“Operasi menyelamat di kawasan perairan perlu dipertingkatkan bagi mengelak tragedi seperti ini berulang lagi,” katanya.
UNHCR menerusi kenyataan memaklumkan, mangsa yang maut merupakan antara 26 individu yang terkandas di bot itu selama beberapa hari.
Jelasnya, dua kanak-kanak yang maut masing-masing berusia setahun dan dua tahun manakala seorang lagi berumur 12 tahun.
Mayat dua wanita yang dipercayai ibu dan nenek mangsa turut ditemukan.
Dalam pada itu, UNHCR memaklumkan seorang lagi wanita bersama anak perempuannya dibawa ke hospital di pulau berhampiran Malta.
Kedua-dua individu itu dibawa menerusi helikopter.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, lebih 1,200 orang dilaporkan meninggal dunia atau hilang pada tahun ini ketika cuba merentasi Mediterranean untuk sampai ke Eropah.