LONDON: Penduduk Britain berkemungkinan terpaksa membayar lebih untuk membeli susu berbanding petrol, ketika harga produk itu semakin melambung tinggi.
Memetik laporan Daily Mail, situasi itu berlaku ketika harga bahan api menurun di negara tersebut.
Data baharu yang didedahkan itu disifatkan sebagai ‘luar biasa’ sejak harga petrol mencecah paras tertinggi pada Jun lalu.
Para pakar berpandangan, kenaikan itu menggambarkan inflasi yang pesat dalam produk tenusu.
Harga susu meningkat dua pertiga pada tahun lalu sekaligus menaikkan harga purata kepada 86 pence bersamaan 1.50 pound (RM7.77) seliter.
Beberapa kedai ketika ini menjual 0.47 liter susu pada harga 1.05 pound (RM5.44) iaitu dibawah harga 1.85 pound (RM9.58) seliter.
Harga petrol mula menurun dari paras tertinggi 191 pence (RM9.95) seliter dan kini serendah 149 pence (RM7.76) di stesen minyak di beberapa kawasan.
Harga petrol dijangka menurun kepada 15 hingga 20 pence (78 sen hingga RM1.04) blagi ketika bekalan bahan api itu `stabil’ selepas kekurangan disebabkan konflik di Ukraine.
“Situasi ini akan menyebabkan harga purata semasa petrol pada 166 pence (RM8.65) di bawah kos purata untuk jumlah susu yang sama,” jelas laporan itu.
Ini bukan kali pertama susu lebih mahal daripada petrol namun pada akhir 1980-an bekalan minyak yang banyak membawa kepada kejatuhan harga.
Pada masa itu, kebanyakan penduduk Britain dikatakan membeli susu yang dihantar ke rumah bermakna harganya adalah lebih tinggi berbanding ketika ini kerana ia termasuk kos penghantaran.