SOLO: Seorang penduduk kecewa apabila wang yang dikumpulnya sejak bertahun-tahun lalu, akhirnya rosak akibat dimakan anai-anai.
Lebih menyedihkan wang yang sudah mencecah 50 juta rupiah (RM15,200) itu disimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji bersama ahli keluarganya yang lain.
Selepas pengawal keselamatan, Samin, 53, mengetahui wang yang dikumpulnya rosak, dia dan isteri bergegas ke bank.
Dia berusaha mengasingkan wang yang sudah hancur dan masih berbentuk dengan harapan dapat menukar baki wang yang masih ada.
Namun, malangnya ketika tiba di bank, wang yang sudah rosak dan tidak mempunyai bentuk tidak boleh digantikan lagi.
Difahamkan, penukaran wang rosak hanya boleh dilakukan jika dua pertiga wang tersebut tidak rosak.
Samin bagaikan hilang kata-kata dan akhirnya dia pasrah dengan ketentuan tersebut.
“Saya yakin Allah akan gantikan dengan lebih baik lagi. Saya terima takdir ini walaupun sedikit rasa kecewa di hati.
“Ini juga satu pengajaran buat saya supaya simpan duit di bank pada masa depan,” luahnya.
Nasib malang yang dialaminya mendapat perhatian Wali Kota Solo, Gibran Rakabuming Raka.
“Nanti kita akan bantu mengusahakan niat murninya yang menabung sejak sekian lama.
“Banyak pihak yang sebenarnya mahu membantu Samin baik dari syarikat umrah hingga orang perseorangan,” katanya lapor Tribunnews.