MEXICO CITY: Gempa bumi kuat sekali lagi menggegarkan Mexico, sehingga mengakibatkan dua orang maut ketika penduduk bergegas keluar ke jalan raya di ibu negara pada tengah malam.
Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud berlaku beberapa hari selepas satu lagi gegaran kuat melanda barat negara itu.
Menurut pihak berkuasa, seorang wanita maut di Mexico City akibat terjatuh dari tangga sehingga kepalanya terhantuk ketika gempa bumi itu mencetuskan amaran, manakala mangsa kedua mengalami serangan jantung.
Agensi seismologi kebangsaan Mexico melaporkan pusat gempa itu berhampiran pantai Pasifik, kira-kira 84 kilometer (km) di selatan Coalcoman di barat Michoacan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGC) pula menganggarkan gempa bumi itu berukuran 6.8 skala Ritcher.
Michoacan dilanda gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud pada Isnin lalu sehingga menyebabkan dua orang terkorban, merosakkan ribuan bangunan dan mencetuskan panik lebih 400km jauhnya di Mexico City.
Gempa bumi terbaharu itu mencetuskan amaran di ibu negara Mexico selepas pukul 1.16 pagi (waktu tempatan) dan menggegarkan beberapa bangunan.
Ramai penduduk keluar dari rumah masing-masing dengan memakai baju tidur dan membawa bersama haiwan peliharaan apabila terdengar bunyi penggera bencana.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador dalam ciapan di Twitter memaklumkan Mexico mengalami gegaran susulan 6.9 skala Ritcher dengan pusat gempa di Coalcoman.
“Gegaran dirasai di Michoacan dan negeri lain, Colima, Jalisco, Guerrero dan Mexico City. Setakat ini, tiada laporan kerosakan,” katanya.
Datuk Bandar Mexico City, Claudia Sheinbaum berkata, pemantauan udara dengan helikopter menunjukkan setakat ini, tiada laporan awal mengenai kerosakan di bandar itu. – AFP