MEXICO CITY: Tarikh 19 September menjadi peristiwa paling diingati di Mexico selepas satu gempa bumi kuat melanda barat negara itu, pada ulang tahun kejadian dua gegaran dahsyat yang berlaku sebelum ini.
Gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di ratusan kilometer jauh di Mexico City.
Malah, agensi seismologi kebangsaan memaklumkan gempa bumi itu turut menggegarkan bangunan dan menyebabkan orang ramai lari bertempiaran ke jalanan di ibu negara.
Penduduk dikenali sebagai Gabriela Ramirez, 59, mengaku dia berasa trauma ketika gempa bumi baharu itu melanda lagi.
“Ketika itu, saya berasa seolah-olah akan mengalami serangan jantung.
“Kawasan ini terdedah kerana banyak bangunan rosak dalam insiden gempa bumi 2017 tidak dibaiki lagi, jadi kami bimbang ia akan ranap ketika ,” katanya.
Dilaporkan, ramai penduduk masih trauma dengan kejadian gempa bumi berlaku lima tahun lalu yang mengorbankan ratusan nyawa.
Sementara itu, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mengesahkan seorang maut akibat ditimpa serpihan yang terjatuh di sebuah pusat beli-belah di Manzanillo, Colima manakala seorang lagi ditemukan meninggal dunia dalam bangunan itu .
Setakat ini, beliau percaya tiada kerosakan serius yang berlaku di Mexico City.
Menurut ahli seismologi, pusat gempa terletak berhampiran pantai Pasifik, kira-kira 400 kilometer (km) barat ibu negara dan 59km ke selatan Coalcoman di negeri Michoacan.
Katanya, kedalaman pula dianggarkan 15 kilometer.
Ia merupakan gempa bumi ketiga terbesar melanda negara Amerika Latin itu pada tarikh 19 September.
Penggera gempa bumi Mexico City berbunyi kira-kira kurang daripada sejam selepas ibu negara itu mengadakan latihan kecemasan sebagai sebahagian acara bagi menandakan bencana pada 1985 dan 2017. – AFP