Ganja: Singapura bimbang rakyat ulang-alik ke Thailand

Ganja: Singapura bimbang rakyat ulang-alik ke Thailand

THAILAND membenarkan rakyatnya menanam ganja dan dijual secara terbuka.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Republik ini menzahirkan kebimbangan dengan langkah Thailand menghalalkan ganja kerana dikhuatiri lebih ramai orang akan keluar masuk ke negara ini dari Thailand.

Menteri Dalam Negeri, K Shanmugam berkata, pihak berkuasa Singapura akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti jelas mengenai penggunaan dadah, tidak kira sama ada dadah itu diambil ketika berada di negara ini atau di luar negara.

“Adakah ia satu masalah? Sudah tentu akan menimbulkan lebih banyak cabaran kerana ganja yang lebih mudah diperoleh di Thailand dan negara tersebut dikunjungi ramai warga Singapura,” katanya.

Shanmugam berkata, hasil penyelidikan menunjukkan penggunaan ganja adalah berbahaya kerana menyebabkan ketagihan, selain menyebabkan kerosakan otak yang tidak dapat dipulihkan, pengecutan otak, penyakit mental dan psikiatri yang serius.

“Sesetengah syarikat farmasi dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai kepentingan berhujah ganja adalah ubat lembut dan kanabinoid mempunyai manfaat perubatan.

“Namun, sebenarnya mereka didorong oleh keinginan untuk buat duit kerana ia adalah industri yang menguntungkan,” jelasnya.

GANJA ATAS NASIHAT DOKTOR

Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang memberitahu penggunaan ganja di Singapura adalah dibenarkan dengan nasihat doktor bagi tujuan perubatan sahaja.

Selepas Thailand menghalalkan penjualan ganja Jun lalu, kerajaan negara itu kemudian terpaksa menanggung kesannya.

“Dalam masa seminggu, ganja terdapat di mana-mana sahaja baik dalam makanan, ubat gigi dan kuih-muih,” katanya.

Kerajaan Thailand berusaha menjadikan sekolah sebagai kawasan bebas ganja, larangan merokok di khalayak ramai serta mengharamkan penjualan ganja kepada ibu mengandung dan menyusu.

Namun, Shanmugam mempersoalkan bagaimana sekiranya ganja sudah berada di dalam biskut, minuman ringan dan ubat gigi.

“Bagaimana ada melindungi ibu yang menyusu? Bagaimana wanita hamil dilindungi? Bagaimana kanak-kanak kecil dan hendak mengawal semua ini? Jadi, sudah tentu terdapat kesukaran dalam aspek kawalan sebaik sahaja kebenaran ganja diluluskan,” katanya.

SINGAPURA BEBAS DADAH

Ditanya kajian Kementerian Kesihatan Malaysia yang sedang menyelidik dan mengkaji untuk menghalalkan ganja perubatan, Shanmugam berkata, langkah itu akan memberi kesan kepada Singapura.

“Jika Malaysia menghalalkan ganja atau dadah lain, sudah tentu akan jadi lebih mencabar daripada aspek penguatkuasaan undang-undang dan kita cuba pastikan Singapura bebas dadah.

“Ini kerana, aliran masuk rakyat Malaysia ke Singapura lebih besar berbanding Thailand,” katanya.

Mengulas adakah Singapura akan mengikut jejak langkah Malaysia dalam aspek perundangan, Shanmugam menjelaskan aspek undang-undang negara tidak berfungsi seperti begitu.

“Kita melihat penyelidikan dan sains serta tidak buat keputusan sendiri.

“Malah, undang-undang kami tidak selalu kelihatan seperti undang-undang Malaysia dan dasar kami tidak kelihatan seperti dasar Malaysia. Kami akan menyimpang bila perlu,” jelasnya.-CNA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya