DUBAI: Dubai merancang untuk membina sebuah resort yang kelihatan seperti bulan, sekali gus bakal memberi pengalaman unik kepada pengunjung seperti melakukan pengembaraan angkasa lepas.
Bandar raya di Emeriah Arab Bersatu (UAE) itu terkenal dengan pelbagai projek pembinaan mega dan bangunan pencakar langit seperti bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa.
Lapor Mirror, resort mega berbentuk bulan itu dianggarkan bernilai sekitar 4.28 bilion pound (RM22.38 bilion) dan dijangka boleh menarik seramai 2.5 juta pengunjung setahun.
Resort bulan itu juga dikatakan bakal menampilkan beberapa kemudahan termasuk sebuah kelab malam dan pusat kesihatan.
Saiz lilitan sfera pada resort bulan itu dianggarkan berukuran sehingga 622 meter, yang bermakna ia mampu membawa masuk lebih 1.5 bilion pound (RM7.84 bilion) pendapatan dalam masa setahun sahaja.
Para pengunjung juga berpeluang menaiki kenderaan ulak-alik ke bangunan itu sambil mengelilingi sekitar hartanah, di atas landasan yang melingkari bahagian tengah bangunan.
Kira-kira 23 peratus daripada tingkat atas bangunan akan menempatkan kasino manakala sembilan peratus kelab malam dan empat peratus pula restoran.
Sebanyak satu pertiga kawasan di teras mewah akan digunakan oleh sebuah kelab, satu pertiga lagi menempatkan lagun dan empat peratus amfiteater yang besar.
Sekiranya projek itu diteruskan maka ia akan menjangkau lebih 200 meter ke langit ke ketinggian dibawah saiz Dataran One Canada di Canary Wharf.
Pelan projek dikenali sebagai Moon Dubai disediakan oleh sebuah syarikat arkitektural dari Kanada, Moon World Resorts.
Sementara itu, pengasas bersama Moon World Resorts, Sandra G. Matthews dan Michael R. Henderson berkata, Moon Dubai akan mempengaruhi setiap aspek ekonomi UAE termasuk sektor pelancongan.
Katanya, aspek lain yang turut disasarkan adalah pengangkutan, hartanah komersial dan kediaman, infrastruktur, perkhidmatan kewangan, penerbangan dan angkasa lepas, tenaga, pertanian, teknologi serta pendidikan.
Ia dijangka mengambil masa setahun lagi untuk pembangunan sebelum proses pembinaan selama empat tahun.