BEIJING: Benih padi berjaya tumbuh di stesen angkasa lepas Tiangong oleh angkasawan China sekali gus menyumbang kepada penerokaan usaha memenuhi keperluan makanan dalam misi angkasa lepas jangka panjang.
Penyelidik di Pusat Kecemerlangan Sains Tumbuhan Molekular, Akademi Sains China, Zheng Huiqiong berkata, benih padi varieti tinggi tumbuh mencecah ketinggian 30 sentimeter sejak eksperimen dijalankan 29 Julai lalu.
Katanya, benih padi varieti pendek pula tumbuh hingga kira-kira lima sentimeter.
“Angkasawan terbabit akan terus memantau tanaman berkenaan. Jika eksperimen itu berjaya, mereka akan mengumpulkan benih baharu yang terhasil dan membawanya pulang ke bumi untuk kajian lanjut,” katanya.
China melancarkan makmal angkasa lepas Wentian ke orbit pada 24 Julai lalu yang bertujuan menjalankan pelbagai eksperimen termasuk penanaman padi.
Usaha yang dijalankan di Tiangong adalah yang pertama menyasarkan kitaran lengkap tanaman itu, bermula dengan benih hingga menjadi tumbuhan matang dan menghasilkan benih baharu, berbanding eksperimen penanaman padi lain.
Dalam pada itu, Huiqiong berkata, sekiranya mahu mendarat dan menerokai planet Marikh, bekalan makanan yang dibawa dari bumi tidak akan mencukupi bagi angkawasan menempuh perjalanan jauh serta misi di angkasa lepas.
“Sebab itu, kita perlu mencari sumber makanan yang mampan untuk penerokaan angkasa lepas jangka panjang,” katanya.