BEIJING: Sekurang-kurangnya 21 orang dilaporkan maut akibat gempa bumi berukuran 6.6 skala Richter menggegarkan barat daya China hari ini.
Menurut USGS, gempa itu berlaku 43 kilometer ke tenggara bandar Kangding di wilayah Sichuan pada kedalaman 10 kilometer.
Gempa itu menyebabkann gegaran dirasai wilayah berhampiran, Chengdu dan Chongqing yang ketika ini menjalani perintah berkurung akibat Covid-19.
“Saya dapat rasakan gegaran yang kuat dan terus menyelamatkan diri,” kata seorang penduduk di Chengdu.
Penduduk di Chongqing pula memaklumkan, gempa itu menyebabkan banyak perabot dan kediamannya bergegar.
Pada Jun lalu, sekurang-kurangnya empat orang maut dan puluhan cedera selepas dua gempa bumi melanda barat daya China. – AFP