WASHINGTON: White House memberi amaran kepada China supaya tidak bertindak melampau terhadap rancangan lawatan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan.
Lapor BBC, Pelosi mempunyai hak untuk melawat pulau di bawah pentadbiran sendiri itu walaupun Beijing melihatnya sebagai suatu tindakan yang sangat bersifat provokatif.
Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan White House, John Kirby berkata, China tidak sepatutnya menjadikan isu lawatan Pelosi sebagai suatu krisis.
Kirby dalam masa sama memberi amaran Beijing mungkin melakukan tindak balas dengan ‘menempatkan’ kekuatan tenteranya di sekitar pulau itu.
Jelasnya, tindakan itu kemungkinan termasuk menembak peluru berpandu berhampiran Taiwan atau aktiviti udara mahupun tentera laut berskala besar.
Pelosi dilaporkan tiba di Malaysia hari ini sebagai sebahagian daripada rancangan lawatan ke Asia sebelum mengunjungi Korea Selatan dan Jepun, tetapi
prospek lawatan ke Taiwan mencuri tumpuan ramai.
Pelosi memulakan perjalanan semalam dengan mengunjungi Singapura, dengan disambut Perdana Menteri, Lee Hsien Loong melalui mesyuarat yang diadakan bagi menggesa Speaker untuk berusaha mencapai hubungan stabil dengan Beijing.
Media AS dan Taiwan melaporkan Pelosi dalam rangka lawatan ke Taipei pada Selasa malam, namun, belum terdapat sebarang pengesahan berhubung perkara itu.
Jika pertemuan itu berjalan seperti dirancang, ia akan menjadi lawatan peringkat tertinggi AS ke Taipei sejak beberapa dekad lalu.-BBC