WASHINGTON: Satu daripada letusan gunung berapi paling kuat yang mengeluarkan sejumlah besar wap air hingga ke atmosfera, berkemungkinan mampu memanaskan permukaan bumi buat sementara waktu.
Memetik laporan CNN, letusan gunung berapi dasar laut yang berlaku di Tonga pada 15 Januari lalu, mencetuskan tsunami dan ledakan sonik yang dapat didengar di seluruh dunia sebanyak dua kali.
Letusan itu mengeluarkan wap air hingga ke dalam stratosfera, yang terletak antara 12 dan 53 kilometer (km) di atas permukaan bumi.
Berdasarkan pengesanan satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), air yang dikeluarkan itu mencukupi untuk mengisi 58,000 buah kolam renang bersaiz Olimpik.
Pengesanan itu dibuat oleh alat Microwave Limb Sounder pada satelit Aura NASA.
Satelit itu mengukur wap air, ozon dan gas atmosfera yang lain.
Para saintis terkejut dengan bacaan wap air yang diperoleh selepas letusan itu berlaku.
Mereka menganggarkan letusan itu mengeluarkan 146 teragram air ke stratosfera.
Satu teragram adalah bersamaan satu trilion gram, justeru dalam kes ini, ia bersamaan dengan 10 peratus daripada jumlah air yang sedia ada di stratosfera.
Ia adalah empat kali ganda berbanding jumlah wap air yang mencecah stratosfera selepas letusan Gunung Pinatubo pada 1991 di Filipina.
Kajian baharu mengenai penemuan wap air disiarkan dalam Geophysical Research Letters pada bulan lalu.
“Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu. Malah, kami terpaksa memeriksa dengan teliti semua ukuran dalam kepulan untuk memastikan ia adalah benar,” kata saintis atmosfera di NASA, Luis Millan.