KYIV: Wanita dan kanak-kanak warga Ukraine disyaki diperdagangkan sebagai hamba seks dan hamba domestik di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pakar pertahanan memberi amaran ketika jutaan rakyat Ukraine meninggalkan negara dilanda konflik sejak Russia melancarkan operasi ketenteraan khas, Februari lalu.
Situasi itu secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan mengenai pelarian yang terdedah kepada isu pemerdagangan manusia.
Memetik laporan Daily Mail, sejumlah wanita dan kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian Poland dikatakan menjadi sasaran sindiket pemerdagangan.
Malah, pakar percaya sebahagian besar golongan itu yang dipindahkan secara paksa ke Russia juga menjadi mangsa pemerdagangan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky khuatir kerana kira-kira 200,000 kanak-kanak hilang sejak insiden pencerobohan lima bulan lalu.
Satu laporan baharu yang dikeluarkan oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Washington dan Jabatan Hal Ehwal Dasar Luar New York mendedahkan sejumlah wanita dan kanak-kanak yang `hilang’ dipercayai diperdagangkan ke UAE.
Menurut pasukan penyelidik, ramai oligarki Russia mencari perlindungan di negara Teluk itu untuk mengelakkan sekatan antarabangsa dan memerlukan pekerja yang mampu berbahasa Russia.
Walaupun isu pemerdagangan ke UAE bukanlah perkara baharu, laporan berkenaan menyatakan kes itu semakin meningkat berikutan penghijrahan pelarian dari Ukraine.
Pengarang bersama laporan itu, Florian Schmitz menggesa Barat untuk mempertanggungjawabkan pihak yang melakukannya dan menyeru negara maju supaya tidak bersikap `menutup mata’ dalam isu pemerdagangan.
“Mengambil kira pergerakan besar-besaran wanita dan kanak-kanak dari Ukraine ke Russia sejak permulaan pencerobohan, kadang-kala dalam situasi terdesak, kemungkinan besar sejumlah golongan itu diperdagangkan ke UAE dan negara lain.
“Masyarakat dunia tidak seharusnya bersikap `menutup mata’ terhadap masalah ini dan mesti mempertanggungjawabkan pihak yang melakukannya.
“Ia harus dilakukan walaupun terdapat sedikit bukti golongan terdedah itu dilindungi,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 1.5 juta pelarian merentasi sempadan Ukraine ke negara jiran sepanjang tempoh 10 hari pertama selepas pencerobohan bermula.
Beberapa pertubuhan amal memberi sindiket pemerdagangan seks menyasarkan wanita dan kanak-kanak Ukraine yang melarikan diri daripada serangan bom Russia di kem pelarian Poland.
Awal tahun ini, pasukan penyiasatan Mail mendedahkan masalah itu sehingga sekumpulan veteran tentera Britain bertugas di sempadan Poland untuk melindungi mereka yang berisiko dengan pemerdagangan.
Laporan terbabit dikenali sebagai Perhambaan Moden di Dubai, mendakwa sejumlah mangsa mungkin menjadi pekerja seks dan hamba domestik.
“Laporan ini bertujuan memberi penerangan mengenai perhambaan moden dan penderaan pekerja asing, dengan tumpuan di UAE serta peranan negara Eropah Timur bertindak sebagai hab pemerdagangan manusia yang berkesan.
“Masalah ini bertambah buruk sejak permulaan perang ketika sebahagian besar wanita dan kanak-kanak terpaksa meninggalkan rumah untuk mencari perlindungan. Mereka trauma dan terdedah serta menjadi sasaran utama sindiket.
“Hal ini ditambah pula dengan oligarki Russia yang memerlukan kakitangan berbahasa Russia, sehingga mungkin mewujudkan situasi bagi wanita dan kanak-kanak dipaksa menjadi pekerja seks atau hamba domestik,” jelas laporan itu.
RUSSIA BEDIL LOJI NUKLEAR
Sementara itu, Zelenskyy menuduh Russia membedil loji tenaga nuklear Zaporizhzhia dan menyifatkan satu tindakan keganasan selepas pengendali kemudahan itu melaporkan kerosakan di stesen janakuasa itu.
Pengendali loji tenaga nuklear Zaporizhzhia, Energoatom memaklumkan beberapa bahagian kemudahan itu `rosak teruk’ akibat bedilan tentera sehingga sebuah reaktor terpaksa ditutup.
Menurut Energoatom menerusi Telegram, serangan itu merosakkan sebuah stesen yang mengandungi nitrogen dan oksigen serta bangunan tambahan.
Russia dan Ukraine menuduh antara satu sama lain berhubung serangan ke atas loji tenaga nuklear terbesar Eropah itu. – AGENSI