LONDON: Sebuah ‘penjara pintar’ berkonsepkan sifar pelepasan karbon dan dijana dengan tenaga solar, bakal dibuka di United Kingdom (UK) pada 2025.
Penjara pertama seumpamanya di negara itu, turut menyediakan tablet dan komputer riba kepada banduan di dalam sel masing-masing.
Lapor Daily Mail, kerajaan UK memaklumkan syarikat pembinaan Kier akan mula membangunkan kemudahan Kategori C di Full Sutton, East Yorkshire pada musim luruh ini dengan kos 400 juta pound (RM2.16 bilion).
Dilaporkan, kemudahan baharu itu merupakan penjara Britain yang paling mahal pernah dibina setakat ini.
Menurut kerajaan, penjara itu bakal dilengkapi teknologi pintar terkini di seluruh kemudahan itu, dalam usaha mengurangkan jenayah dan melindungi orang ramai.
Inovasi itu akan merangkumi peranti dalam sel untuk para banduan termasuk komputer riba dan tablet serta sistem keselamatan paling maju dan reka bentuk serba elektrik.
Seorang jurucakap Perkhidmatan Penjara HM berkata, semua teknologi dalam sel banduan itu dilengkapi kawalan keselamatan ketat dan tidak boleh digunakan untuk melayari internet.
“Banduan diberikan komputer riba dan tablet untuk mengakses pendidikan serta latihan agar mereka boleh mencari kerja selepas dibebaskan.
“Langkah ini terbukti dapat mengurangkan kadar jenayah negara,” katanya.
Sementara itu, jurucakap badan amal Prisoners’ Education Trust memaklumkan penggunaan peranti dalam sel banduan bukan perkara baharu, malah biasa diamalkan di kira-kira 10 penjara di UK.
Bagaimanapun, jelasnya, semua peranti itu dipasang sistem kawalan dan perlindungan yang ketat.
“Tablet dan komputer riba dalam sel banduan disambungkan pada intranet penjara yang selamat dan tidak mempunyai akses internet lebih luas.
“Ini bermakna banduan hanya boleh mengakses maklumat di lokasi penjara yang mereka tinggal.
“Misalnya, mereka boleh menempah janji temu dengan doktor penjara atau memohon untuk meminjam buku perpustakaan selain memeriksa jumlah kredit untuk membuat panggilan telefon kepada keluarga mereka,” jelasnya.