BANGKOK: Thailand tidak menggalakkan mana-mana pelancong yang memasuki negara ini semata-mata untuk mengambil ganja.
Perkara itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul mengenai kebenaran penggunaan ganja di negara ini.
“Kami tidak menyambut mana-mana pelancong yang hanya memasuki Thailand untuk menghisap ganja.
“Kami melihat tindakan itu seperti tidak bertanggungjawab. Mungkin perkara itu hanya dibenarkan apabila semua pihak memahami dan tahu bagaimana menggunakan ganja dengan betul,” katanya seperti yang dilaporkan thethaiger.
Anutin membuat kenyataan itu ketika kemasukan jumlah pelancong ke Thailand direkodkan semakin meningkat selepas pandemik Covid-19.
Pada tahun lalu, pandemik menyaksikan hanya 428,000 pelancong datang ke Thailand berbanding hampir 40 juta orang pada 2019.
Selain itu, Anutin turut menegaskan keputusan membenarkan penggunaan ganja di negara ini tidak menjejaskan sosial masyarakat, malah tidak banyak kes kesihatan membabitkan dadah tersebut.
“Thailand hanya merekodkan 60 kes serius berkaitan penyalahgunaan ganja setakat ini.
“Secara puratanya, hanya satu kes salah guna ganja direkodkan sehari melibatkan 70 juta populasi,” ujarnya.
Sementara itu, Anutin memberi jaminan undang-undang berkaitan kesihatan dan ganja yang ditetapkan dapat mengawal penggunaan dadah itu di negara ini.
“Ingin saya tegaskan, ganja tidak akan memudaratkan jika anda tahu bagaimana untuk menggunakannya,” tegas beliau.