Singapura tarik balik dua lagi aiskrim Haagen-Dazs - Utusan Malaysia

Singapura tarik balik dua lagi aiskrim Haagen-Dazs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan, dua produk aiskrim popular, Haagen-Dazs, ditarik semula daripada pasaran selepas ia dikesan mengandungi racun perosak.

Sebelum ini, dua produk ais krim Haagen-Dazs ditarik semula bulan lalu berikutan dikesan mengandungi racun perosak sama, etilena oksida.

Produk terkini yang ditarik semula adalah perisa aiskrim Belgian Chocolate bersaiz 100 mililiter (ml) dengan tarikh luput 8 Jun 2023, serta aiskrim Cookies & Cream bersaiz 473ml dengan tarikh luput 27 Mei 2023.

Produk yang ditarik semula bulan lalu membabitkan dua aiskrim vanila Haagen-Dazs jenis pain dan Classic Collection Mini Cups, dengan tarikh luput antara 4 Julai 2022 dan 21 Julai 2023.

Semua produk yang ditarik semula daripada pasaran itu adalah diimport dari Perancis.

Produk terkini ditarik semula selepas Sistem Amaran Pantas Makanan milik Suruhanjaya Amaran Makanan Eropah, mengeluarkan notifikasi tarik semula bagi kedua-dua perisa itu selepas mengesan kewujudan etilena oksida.

Etilena oksida tidak diluluskan untuk kegunaan dalam makanan.

Menurut SFA, meskipun tiada risiko segera akibat pengambilan makanan yang tercemar dengan kadar etilena oksida yang rendah, pendedahan jangka panjang mungkin menyebabkan masalah kesihatan.

“Sehubungan itu, pendedahan pada bahan ini perlu diminimumkan sebanyak mungkin,” katanya.

Menurut laporan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS), manusia yang terdedah pada etilena oksida untuk jangka panjang berisiko mengalami kerengsaan pada mata, kulit, hidung, tekak dan paru-paru, serta merosakkan otak dan sistem saraf, selain meningkatkan risiko kanser.

SFA menasihatkan pengguna yang sudah membeli produk terkesan itu untuk mendapatkan rawatan perubatan jika sudah memakan produk itu dan bimbang dengan keadaan kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya