BANGKOK: Siri serangan bom dan kebakaran dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya 17 lokasi di selatan Thailand, kata pihak berkuasa.
Lapor Al Jazeera, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan serangan itu dilakukan secara terancang sehingga mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan.
Menurut pegawai polis dan tentera, serangan berkenaan berlaku pada lewat semalam dan awal pagi tadi.
Jurucakap tentera, Pramote Promin berkata, sebanyak 17 serangan berlaku di Pattani, Narathiwat dan Yala dengan menyasarkan kedai serbaneka dan stesen minyak.
Katanya, sekurang-kurangnya tiga orang awam cedera dalam kejadian itu.
Setakat ini, tiada mana-mana pihak mengaku melakukan serangan berkenaan.
Jelas Promin, penyerang menunggang motosikal dan dalam beberapa insiden melontarkan bom petrol ke atas lokasi yang disasarkan.
Sementara itu, jurucakap polis, kapten Sarayuth Kotchawong berkata, pihaknya menerima laporan sejurus selepas tengah malam bahawa seorang suspek memasuki kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Yala.
Jelas beliau, individu itu meletakkan sebuah beg hitam di dalam kedai tersebut dan memberi amaran kepada pekerja meninggalkan premis itu sekiranya `tidak mahu mati.
Pekerja berkenaan meninggalkan premis itu sebelum beg hitam itu meletup kira-kira 10 minit kemudian.