BANGKOK: Seorang pelajar tempang menggunakan pistol palsu untuk merompak aksesori emas bernilai 150,000 baht (RM18,456) di sebuah kedai emas di wilayah Isaan di Thailand.
Pelajar universiti berusia 24 tahun itu mengakui melakukan kesalahan tersebut dan memberi alasan dia merompak kerana mahu membiayai perniagaan pokok ganja.
Lapor thethaiger.com, Pornthep merompak dengan menggunakan senjata di kedai emas di daerah Thesaban, Nakhon Ratchasima pada 27 Julai lalu.
Pelajar itu melarikan lima utas rantai leher emas yang seberat kira-kira 75 gram.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan Pornthep yang memakai jaket hitam dan topi keledar sedang berjalan masuk ke dalam kedai emas tersebut sebelum mengeluarkan senjata api.
“Dia mengeluarkan sepucuk pistol dan mengugut pekerja kedai sebelum mereka memasukkan rantai emas ke dalam beg dan menyerahkan kepadanya.
“Perompak itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diparkir di luar premis berkenaan sebelum meninggalkan motosikal itu di tepi jalan di kawasan hutan,” jelas laporan itu.
Sementara itu, polis dari balai Mueng Nakhon Ratchasima berjaya menjejaki perompak itu melalui rakaman CCTV berhampiran lokasi motosikal ditinggalkan.
Polis menahan suspek di sebuah asrama berhampiran universiti terkenal di Nakhon Ratchasima.
Suspek mengaku motif disebalik rompakan itu bagi membolehkannya melabur dalam perniagaan pokok ganja.
Polis kemudian memulangkan rantai emas kepada kedai berkenaan namun masih belum memutuskan pertuduhan yang akan dikenakan kepada pelajar tersebut.