COLOMBO: Perang saudara yang berlanjutan sejak sekian lama memaksa ramai penduduk di utara dan timur Sri Lanka menderita serta emosi mereka direntap sehingga tiada jalan lain selain memilih lari ke luar negara.
Buktinya, bandar Negombo yang terletak di pantai barat Sri Lanka menjadi sarang pemerdagangan manusia sejak tiga dekad lalu.
Seorang pemilik bot, Jude mendedahkan kepada BBC dia menyeludup ratusan penduduk ke Australia dan Itali sejak 30 tahun lalu.
Katanya, Austalia merupakan destinasi pilihan merentasi Lautan Hindi, manakala, Itali pula popular dalam kalangan pelarian kerana peluang pekerjaan dan majoriti populasi di Negombo adalah Katolik.

“Pernah sekitar 1990an, saya menyeludup 130 orang ke Itali menggunakan bot.
“Sekiranya kami terdengar negara itu akan melongggarkan sekatan terhadap pelarian dan migran, ketika itulah peluang baik ke sana.
“Saya akan pastikan sumber air dan makanan disimpan dalam bot serta dipenuhi minyak,” katanya.
Menurut Jude, dia tidak perlu mencari pelarian kerana semuanya diuruskan oleh orang tengah.
“Broker ini yang akan mencari dan mengambil penduduk dengan mengenakan caj AS$1,400 (RM6,230). Mereka juga mendapat keuntungan separuh daripada kos tersebut.
“Broker ini mempunyai kumpulan kecil dalam 10 ke 15 orang dari seluruh negara dan boleh mencecah 50 orang,” katanya.
Mengenai modus operandi bot itu bergerak, Jude berkata, mereka hanya memerlukan pemandu dengan empat atau lima kru untuk membantu.
“Kami daftarkan nama pemilik bot dengan nama pemandu itu kerana tiada perjalanan patah balik supaya tidak dapat dikesan. Kesemua kru akan tiba di destinasi dengan semua penumpang dan mereka juga akan memohon suaka di negara yang dituju,” ujarnya.
Jude juga memberitahu, kebiasaannya setiap perjalanan akan mengambil masa selama 25 hingga 30 hari untuk sampai ke Itali melalui Terusan Suez.
Jelasnya, perjalanan ke Austalia lebih singkat dengan hanya mengambil masa 10 ke 15 hari.
BELENGGU RINDU
Seorang pelarian, Shiva mula merindukan dua anak dan isterinya di kampung halaman.
Lelaki itu bersama pelarian lain tiba di Austalia selepas 22 hari merentas lautan bergelora.
Dia masih ingat peristiwa pahit apabila lima pelarian mati di dalam bot akibat sakit dan mabuk laut sehingga mereka terpaksa dicampak ke laut.
Insiden sekitar 2012 itu berlaku, hanya tiga tahun selepas tentera Sri Lanka menumpaskan pemberontak Tamil Tiger pada Mei 2009, sehingga berkahir dengan perang saudara selama tiga dekad.
“Salah seorang pelarian berada dalam keadaan sangat sakit, namun tiada ubat waktu itu. Pelarian lain pula ada yang membawa arak, jadi saya minum sampai mabuk kerana bimbang akan mati.
“Kami menderita selama 30 tahun kerana perang saudara sehingga menyebabkan kemiskinan berlarutan,” luahnya.
WANITA PALING RAMAI
Berdasarkan Laporan Global mengenai Penyeludupan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebanyak 46 peratus mangsa adalah wanita, 19 peratus kanak-kanak perempuan; 20 peratus lelaki dan 15 peratus kanak-kanak lelaki.
Walaupun konflik sudah lama berakhir, namun, ratusan penduduk tetap memilih jalan tersebut.
Sebelum ini, ramai aktivis manusia dilaporkan diserang dan wartawan dibunuh ketika konflik memuncak.
Pihak kerajaan pula acapkali menafikan penglibatan menculik atau menyebabkan kehilangan orang.
Sejak 2009, kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain, sehingga siri penculikan masih berterusan.-BBC