ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya 18 orang maut selepas polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang melakukan protes ganas membantah penculikan kanak-kanak albino.
Ketua doktor di sebuah hospital terletak di tenggara Madagascar, Tango Oscar Toky berkata, puluhan orang cedera termasuk sebahagian mereka dalam keadaan parah.
“Ketika ini, kesemua 18 orang maut yang mana sembilan di lokasi kejadian dan bakinya di hospital.
“Daripada jumlah 34 orang yang cedera, seramai sembilan dalam keadaan kritikal.
“Kami sedang menunggu helikopter kerajaan memindahkan mereka ke ibu negara,” katanya.
Menurut pegawai polis yang enggan mendedahkan identitinya, kira-kira 500 penunjuk perasaan bersenjatakan bilah dan parang cuba memasuki balai.
“Rundingan dilakukan namun penduduk kampung tetap berkeras,” kata polis di bandar Ikongo, 350 kilometer (km) dari ibu negara Antananarivo.
Jelasnya, polis mula-mula melepaskan gas pemedih mata untuk cuba menyuraikan penunjuk perasaan itu.
“Mereka masih cuba memasuki, jadi kami tiada pilihan selain mempertahankan diri,” katanya. – AFP