BEIJING: Polis China menahan lebih 200 suspek yang dikaitkan dengan satu daripada skandal perbankan terbesar sehingga mencetuskan protes besar-besaran di negara itu.
Empat buah bank di wilayah Henan, tengah China menggantung pengeluaran tunai pada April lalu ketika pihak yang mengawal selia peraturan bagi membanteras isu kesilapan pengurusan bertindak membekukan dana milik ratusan ribu pelanggan sehingga mencetuskan bantahan yang berakhir dengan keganasan.
Semalam, polis menyatakan mereka sudah menahan 234 individu berhubung skandal itu dan menyaksikan kemajuan ketara dalam mendapatkan semula dana yang dicuri.
“Satu kumpulan penjenayah disyaki mengawal empat bank di pedalaman dan bandar secara haram serta disyaki melakukan beberapa siri jenayah berat,” menurut polis di bandar Xuchang dalam satu kenyataan semalam.
Sektor perbankan di kawasan luar bandar China terjejas teruk akibat usaha dilakukan Beijing bagi mengekang gelembung hartanah dan hutang yang semakin meningkat dalam tindakan keras terhadap sektor kewangan di negara itu.
Pihak yang mengawal selia peraturan bagi membanteras kesilapan pengurusan sudah menawarkan pembayaran balik secara beransur-ansur kepada pendeposit sejak pertengahan April lalu.
Pada Isnin lalu, pihak berkuasa yang menyelia selia bank dan insurans di Henan berjanji untuk membayar balik mereka yang mendepositkan antara 400,000 yuan (RM259,366) dan 500,000 yuan (RM324,207) mulai minggu ini.
Pendeposit yang berhutang dengan jumlah lebih kecil sudah dilunaskan lebih awal.
Penganalisis berkata, saiz dan skala penipuan itu memberi tamparan kepada keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan China, dengan bank terbabit didakwa sudah beroperasi secara haram selama lebih sedekad.
Demonstrasi besar-besaran pendeposit pada 10 Julai di Zhengzhou, wilayah Henan, dibatalkan dengan penunjuk perasaan dipaksa menaiki bas serta dipukul oleh polis. – AFP