LONDON: Seorang remaja mendakwa diganggu oleh ‘badut pembunuh’ sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk di Hampton Pier, Kent, United Kingdom.
Pihak berkuasa mula melancarkan siasatan selepas menerima dakwaan remaja berusia 17 tahun dan rakannya yang diekori badut itu pada waktu malam.
Pihak berkuasa mengesahkan menerima laporan itu, namun tiada kesalahan dikenal pasti setakat ini.
“Badut itu tidak bercakap dengan kanak-kanak lelaki itu dan tiada kesalahan direkodkan.
“Seorang polis peronda melakukan pencarian di kawasan itu, tetapi tiada sesiapa yang disyaki sepadan dengan keterangan yang diterima,” jelasnya.
Ibu remaja itu berkata, anak lelakinya tiba di rumah dengan kawannya selepas diekori oleh seorang individu yang memakai kostum badut di sepanjang jalan Hampton Pier.
“Badut itu berkelakuan pelik, berjalan pantas di belakang mereka, bersembunyi dan membongkok di sebalik tembok laut dan berkelakuan menyeramkan seperti melakonkan watak badut pembunuh.
“Anak saya dan rakannya bersembunyi selama beberapa minit dan badut itu berdiri di tepi taman,” katanya dalam Facebook.
Insiden serupa pernah berlaku pada 2016 apabila pelawak berpakaian seperti badut yang menyeramkan dan menakutkan mereka yang berdekatan.
Kemuncak trend yang bermula dari Amerika Syarikat menyaksikan 50 insiden melibatkan badut dilaporkan kepada polis Kent dalam masa tiga hari antara 7 hingga 10 Oktober 2016.
Pada 2018, polis Kent melaporkan pihaknya memburu seorang lelaki berpakaian seperti badut pembunuh selepas dua remaja lelaki dikejar dengan kayu besbol.
Badut itu dilaporkan ketawa terbahak-bahak apabila melihat remaja itu dan mengejar mereka menggunakan laluan bawah tanah.
Difahamkan, terdapat kes orang ramai dikejar di jalan raya dengan pisau dan seorang wanita mengandung terpaksa bersalin lebih awal.
Kes paling teruk pernah dilaporkan pada 2016 di County Durham apabila seorang badut yang bersenjatakan pisau mengejar empat kanak-kanak yang berjalan ke sekolah.