BANJAR: Terdapat 150 sungai dan ribuan tandas di wilayah Kalimantan Selatan yang digelar sebagai ‘tandas terapung’ sehingga menimbulkan masalah besar kepada lebih empat juta penduduk.
Ini disebabkan penduduk masih mengamalkan tabiat membuang air kecil dan besar di dalam sungai sehingga menyebabkan air sungai tercemar, lapor Channel News Asia.
Situasi tersebut menyukarkan Ramjaena setiap kali ingin menggunakan tandas kerana dia perlu melihat sekeliling sebelum menggunakan tandas tersebut.
Seperti kebanyakan penduduk Kampung Paku Alam yang terletak di anak sungai Martapura, rumahnya dibina di atas tiang dan terletak di sepanjang laluan air.
Di depan rumahnya terdapat binaan kecil yang dibuat dari kayu dan berfungsi sebagai tandas.
Cebisan pakaian digunakan bagi menggantikan pintu setiap kali dia atau ahli keluarga lain menggunakan tandas.
Najis mereka mengalir ke sungai secara langsung tanpa sebarang privasi.
“Apa yang jatuh ke dalam sungai adalah sangat memalukan,” katanya.
Ramjaena dan penduduk kampung lain berkata, mereka sangat tidak selesa dengan keadaan itu dan mahu tandas lebih sempurna.
Katanya, alasan utama dia menggunakan tandas terapung itu kerana masalah kewangan.
“Tandas saya seperti ini kerana saya tidak mempunyai wang mencukupi untuk membina tandas lebih sempurna dalam rumah,” katanya.
Difahamkan, kos membina tandas yang baik adalah lima juta rupiah yang menunjukkan berada atas paras gaji minimum iaitu tiga juta rupiah.
Susulan itu, aktivis alam sekitar menggesa pihak kerajaan melihat masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama.
Pengarah Eksekutif Organisasi Bukan Kerajaan, Kisworo Dwi Cahyono berkata, Kalimantan Selatan dan bekas ibu kota Banjarmasin terkenal dengan anak sungai yang banyak.
“Ini bermakna secara budaya dan tradisi, orang ramai tinggal tidak jauh dari sungai. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat melakukan aktiviti di sungai seperti mandi, buang air kecil, air besar dan berulang alik menggunakan bot,” katanya.
Bagaimanapun, penduduk tempatan yang ditemui berkata, membuang air kecil atau besar ke dalam sungai adalah amalan tradisi mereka.
Idup yang tinggal di Paku Alam berkata, dia tidak mampu memiliki sebuah tandas sempurna.
Katanya, dia akan menggunakan tandas terapung ketika suasana sunyi sepi.-CNA