BRASILIA: Seorang pemain bola sepak dari Brazil secara tidak sengaja menyebut nama lain ketika menyatakan penghargaan kepada teman wanitanya dalam satu sesi temu bual selepas tamat perlawanan.
Dalam video temu bual itu, sebaik sahaja penjaga gol, Kainan berterima kasih kepada teman wanitanya, beliau secara tiba-tiba tersedar melakukan satu kesilapan besar dan memperbetulkan ucapannya.
“Kepada teman wanita saya yang sedang bekerja, terima kasih kepada Tuhan, jika tidak saya tidak akan berada di sini, Grazi, satu pelukan kepadamu,” katanya.
Bagaimanapun, nama teman wanita Kainan bukanlah Gazi seperti dinyatakannya dan ia adalah Jucielly.
Kainan mungkin boleh berdiam diri dan berpura-pura tidak tersasul menyebut nama yang salah namun beliau mengakui sudah melakukan kesilapan.
Kainan mendedahkan kesilapan itu sebelum meninggalkan temu bual tersebut.
“Saya salah sebut nama. Jucielly namanya.. saya silap sebut nama teman wanita saya,” katanya.
Rakaman video itu menunjukkan Kainan ketawa kerana malu, sambil penemuduga berkata ‘anda bergurau’.
Kainan kemudian secara berseloroh menyatakan ‘sudah tentu dia akan dipukul di rumah’. – AGENSI