ACEH: Lima pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai Brayeun, Aceh.
Empat daripadanya dilaporkan meninggal dunia termasuk seorang pelajar rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Fakhrul Razi, 20 tahun, manakala seorang lagi mangsa terselamat.
Jurucakap pihak berkuasa, Ibnu Harris Hussain berkata, kejadian itu bermula ketika kelima-lima pelajar tersebut berenang di sungai berkenaan ketika hujan lebat.
Katanya, berlaku kejadian kepala air secara tiba-tiba sehingga menghanyutkan kesemua pelajar tersebut.
“Seorang daripada lima mangsa berjaya diselamatkan penduduk setempat, manakala empat lagi hilang dibawa arus deras sebelum ditemukan dalam keadaan meninggal dunia.
“Mayat mangsa terakhir dihanyutkan sehingga ke kawasan pantai dan dikenal pasti sebagai pelajar asal Malaysia, Fakhrul Razi,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Jelas Ibnu Harris, jenazah Fakhrul ditemukan oleh kumpulan nelayan yang hendak turun ke laut.
Katanya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.
“Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai,” ujarnya.