BANGKOK: Sepasang kekasih bakal menerima habuan besar selepas menemui sebutir mutiara yang jarang ditemukan, di dalam makanan laut dipesan mereka di sebuah restoran BBQ di Thailand.
Lapor thethaiger.com, mutiara Melo berwarna jingga yang bernilai lebih sejuta baht (RM124,695) itu ditemukan dalam hidangan makanan laut jenis siput itu.
Penemuan itu dibuat ketika Sittidate Chaiwan sedang meraikan hari lahir teman wanitanya, Patjariya Gatip, 27 tahun pada 11 Ogos lalu.
“Patjariya hampir tertelan mutiara Melo yang mahal di sebuah restoran terletak di wilayah utara Payao,” jelas laporan itu.
Menurut Sittidate, ketika itu, teman wanitanya sedang makan siput panggang dan menyedari tergigit objek yang sangat keras.
“Dia mengeluarkannya dan menemukan sebiji batu oren yang kelihatan seperti mutiara.
“Seorang lagi rakan yang sedang menjamu hidangan bersama kami bergurau kami bakal menjadi jutawan kerana batu itu nampak seperti mutiara Melo,” katanya.
Jelasnya, dia kemudian membuat carian dalam talian mengenai batu dijumpai dan terkejut mendapat tahu mutiara Melo yang asli bernilai lebih sejuta baht (RM124,695).
Sittidate menghantar batu tersebut kepada Makmal Pengujian Chiangmai pada 19 Ogos lalu dan hasil ujian mengesahkan ia sememangnya mutiara Melo yang asli.
“Lelaki itu menjadi teruja dan memberitahu mana-mana individu yang berminat membeli mutiara itu boleh menghubunginya menerusi akaun Facebook Pound in’Dy,” jelas laporan itu.