ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mengisytiharkan darurat selepas jutaan penduduk dilaporkan terjejas dan ratusan mangsa maut akibat banjir.
Jabatan Pengurusan Bencana Negara melaporkan sebanyak 937 penduduk terbunuh sejak Jun lalu, termasuk 34 orang dalam tempoh 24 jam lalu.
Bencana tragis itu menyebabkan orang ramai terpaksa mencari tempat perlindungan sementara dengan berlindung di khemah-khemah usang di bandar Sukkur.
Malah, penduduk juga hanya mempunyai pilihan duduk di atas katil disebabkan semua barangan dalam rumah dihanyutkan air banjir.
Laluan jalan bertar pula ditenggelamkan air sekali gus mengehadkan pergerakan mangsa mencari kawasan selamat.
Sisa-sisa plastik juga dimuntahkan dari lubang paip kumbahan dan terdapat takungan air yang boleh menimbulkan pelbagai penyakit lain.
Hujan lebat turun sepanjang minggu ini dan mengehadkan masa penduduk untuk pulang ke rumah.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, seramai 33 juta penduduk terjejas akibat banjir yang melanda.
Oleh itu, beliau merayu lebih banyak bantuan antarabangsa dihulurkan.
Jelasnya, kerugian akibat banjir musim ini adalah setanding dengan kerugian banjir pada 2010 dan 2011.-AGENSI