KABUL: Pemangku Menteri Pertahanan Afghanistan menuduh Pakistan membenarkan dron Amerika Syarikat (AS) menggunakan ruang udara republik itu, bagi menceroboh negaranya.
Memetik laporan Al Jazeera, Mullah Mohammad Yaqoob mendakwa dron AS memasuki Afghanistan melalui Pakistan.
“Berdasarkan maklumat diterima, dron berkenaan masuk melalui Pakistan untuk ke Afghanistan.
“Mereka menggunakan ruang udara republik itu, justeru kami menuntut Pakistan tidak membenarkan ruang udaranya digunakan menyerang di negara kami,” katanya dalam sidang akhbar di Kabul.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Pakistan menafikan dakwaan dilemparkan oleh Mullah Mohammad dan menganggapnya sebagai sangkaan buruk.
Malah, kementerian itu turut menyifatkan kenyataan pemimpin Taliban itu amat dikesali.
“Dengan ketiadaan sebarang bukti sepertimana diakui oleh menteri Afghanistan sendiri, dakwaan sedemikian amat dikesali.
“Malah, ia juga melanggar norma kelakuan diplomatik yang bertanggungjawab.
“Pakistan menegaskan kepercayaannya terhadap kedaulatan dan integriti semua negara dan mengutuk sebarang bentuk keganasan dan manifestasinya,” jelas kementerian.
Kenyataan Mohammad Yaqoob itu dibuat kurang sebulan selepas Presiden AS, Joe Biden mengumumkan pembunuhan ketua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri dalam serangan dron di Kabul.