GENEVA: Lebih 3,000 orang kurang upaya (OKU) mendapat manfaat daripada perkhidmatan rehabilitasi fizikal di Republik Demokratik Congo (DRC), Mali dan Nigeria menerusi Bon Impak Kemanusiaan (HIB) pertama yang dilaksanakan.
HIB dicetuskan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada 2017, dan terbukti sebagai mekanisme kewangan yang efisien untuk mengumpul dana yang didorong oleh projek keperluan global yang semakin meningkat.
Dianggarkan 29 juta orang bersamaan kira-kira 14 dari setiap 100 penduduk adalah golongan OKU di Nigeria dan perkhidmatan rehabilitasi fizikal tidak tersedia di kebanyakan kawasan yang didiami mereka.
Di timur laut negara itu, konflik dan keganasan menyebabkan ramai penduduk tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting, sehingga terpaksa menempuh perjalanan sejauh 965 kilometer ke sebuah fasiliti kesihatan yang memberikan penjagaan kesihatan yang sewajarnya.
Ketua Pasukan ICRC bagi Pusat Rehabilitasi Fizikal di Maiduguri, Daniel Odhiambo berkata, usaha ini adalah satu langkah penting untuk menyediakan fasiliti kesihatan di Nigeria serta di tempat lain kerana memberi peluang kepada jutaan penduduk menjalani kehidupan lebih baik.
“Ini adalah langkah pertama usaha jangka panjang supaya orang ramai boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan penting pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Pembiayaan awal HIB disediakan oleh pelabur sosial seperti Bank Lombard Odier dan New Re, dan dibayar balik melalui perjanjian pembayaran oleh pembiaya hasil, termasuk kerajaan Switzerland, Belgium, Itali, United Kingdom dan Yayasan ‘La Caixa’.
Dalam pada itu, Presiden ICRC, Peter Maurer berkata, penularan covid-19, rampasan kuasa tentera dan keganasan yang memuncak menjadikan pelaksanaan projek itu semakin kompleks.
Namun, di sebalik cabaran itu, katanya, pusat tersebut adalah sembilan peratus lebih efisien daripada segi pengurusan masa, kemahiran staf, pengurusan stok dan sumber.
Jelasnya, kriteria dan elemen penting seperti kualiti penjagaan serta kepuasan pesakit adalah faktor utama yang membantu menentukan tahap kejayaan HIB.
“HIB terbukti sebagai alat yang sangat berguna untuk mempelbagaikan pembiayaan kami untuk projek berbilang tahun berskala besar.
“Kolaborasi dan kepercayaan rakan kongsi kami adalah penting, terutamanya semasa keperluan global dan pembiayaan kemanusiaan semakin meningkat.
“Hari ini, kami gembira untuk mengatakan projek itu mencapai objektifnya dan lebih 3,000 orang telah mendapat akses kepada perkhidmatan rehabilitasi fizikal yang mengubah kehidupan,” katanya.-ICRC