LONDON: Seorang perompak yang menyamar seperti penghantar makanan memecah cermin sebuah kereta Bugatti Chiron milik jutawan dari Kuwait, untuk mencuri seutas jam tangan Rolex.
Satu rakaman video memaparkan Abdullah F.Al Basman melalui detik cemas selepas cubaan samun bersenjata oleh dua perompak ketika sedang memandu kereta mewahnya di pusat bandar London, tular dalam media sosial.
Lapor Daily Mail, Abdullah yang turut dikenali sebagai playboy Kuwait, cuba dirompak kerana memakai jam tangan Platinum Rolex Daytona yang dianggarkan bernilai lebih 110,000 pound (RM581,416).
Video menunjukkan Abdullah sedang menunggu lampu isyarat merah di sebuah simpang jalan sebelum diserang oleh penunggang motosikal terbabit yang memecahkan cermin keretanya dengan tukul di Park Lane berhampiran Hyde Park Corner, Mayfair.
Pencuri itu bertindak memecahkan cermin kereta mewah beberapa kali sebelum Abdullah memecut kenderaannya sehingga menyebabkan perompak berkenaan gagal melarikan diri dengan sebarang barang berharga.
Seorang lagi individu berpakaian seperti penghantar makanan pula menunggang motosikalnya di samping pencuri itu ketika mereka melarikan diri dari tempat kejadian.
Selepas cubaan samun gagal, Abdullah dibantu keluar dari kereta mewahnya yang remuk dalam kejadian itu.
Difahamkan, jutawan yang menginap di Hotel Berkeley itu, menjadi sasaran selepas memuat naik gambar kereta dan jam tangan mewah di media sosial.
“Pencuri itu berada di luar hotel dan kakitangan mengarahkan mereka agar berlalu dari laluan kereta di hadapan lobi.
“Apabila Abdullah menaiki kereta Bugatti dan berlalu dari hotel itu, perompak itu mengekorinya sehingga ke Hyde Park Corner. Seorang daripada mereka membunyikan hon, dipercayai sebagai isyarat memulakan serangan.
“Saya mengandaikan mereka menunggu sehingga tiba di simpang yang mempunyai lampu isyarat merah yang lama sebelum bertindak menyerangnya,” kata seorang saksi.