Jepun naikkan kadar gaji tarik minat orang ramai bekerja

Jepun naikkan kadar gaji tarik minat orang ramai bekerja

KOS sara hidup yang kian meningkat memberikan bebanan kepada golongan pekerja di Tokyo.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Syarikat besar di Jepun mula menaikkan kadar gaji bagi menarik minat orang ramai bekerja sekali gus menangani masalah kekurangan staf yang semakin kronik di negara itu.

Dapatan itu diperoleh hasil tinjauan bulanan Reuters yang menunjukkan Japan Inc kemungkinan akan merombak perubahan gaji yang tidak berubah sejak beberapa dekad lalu.

Tinjauan korporat mendapati penawaran gaji yang lebih tinggi belum menjadi strategi syarikat kerana segmen pendigitalan dilihat sebagai langkah popular dalam menangani masalah kekurangan buruh.

Syarikat Jepun mengelak daripada menaikkan gaji kerana deflasi selama beberapa dekad selain faktor kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

Sebelum ini, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyarankan pihak syarikat menaikkan gaji disebabkan kenaikan dua kali ganda harga komoditi yang lebih tinggi dan yen yang lebih lemah meningkatkan kos sara hidup serta tekanan kepada pekerja.

Seorang pengurus syarikat yang enggan dikenali berkata, pihaknya menghadapi masalah kekurangan pekerja dan berusaha menarik minat pekerja sambilan di kedainya.

“Kami bertindak balas dengan menaikkan gaji tetapi ada hadnya,” katanya.

Tinjauan yang dijalankan oleh Nikkei Research dilakukan terhadap 495 firma besar bukan berasaskan kewangan dari 2 hingga 12 Ogos lalu.

Sebanyak 44 peratus responden memilih kenaikan gaji atau gaji permulaan yang tinggi berbanding beberapa pilihan lain.

Tinjauan juga mendapati 59 peratus memilih langkah pendigitalan dan lain-lain bagi menyelamatkan isu kekurangan tenaga kerja.

Pakar Ekonomi Kanan di SMBC Nikko Securities, Koya Miyamae berkata, kekurangan buruh mendorong banyak syarikat menaikkkan gaji walaupun secara beransur-ansur.

“Sekarang baru peringkat permulaan, apabila penduduk semakin meningkat usia dan berkurangan, momentum untuk menaikkan gaji akan meningkat,” katanya.

Syarikat juga digesa mengamalkan persekitaran kerja yang lebih baik termasuk pengambilan pekerja sepanjang tahun dan menangguhkan persaraan untuk menggalakkan warga emas bekerja sehingga lanjut usia.

KURANGKAN PEKERJA ASING

Golongan pekerja yang semakin berkurangan menjadi kebimbangan sejak bertahun-tahun di negara ekonomi ketiga terbesar dunia, sekali gus menjadi amaran kepada kepada negara lain termasuk Eropah.

Dalam masa sama, penggubal dasar menghentikan pengambilan pekerja asing secara meluas.

Menerusi tinjauan itu, sebanyak 19 peratus syarikat memberitahu akan mendapatkan pekerja asing, berbanding 13 peratus semasa tinjauan 2017.

Tiga perempat syarikat juga mahu pihak kerajaan menggunakan satu lagi pusingan besar untuk membantu ekonomi menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Sebanyak 44 peratus firma menyatakan mahu melihat rangsangan fiskal baharu.

Hanya satu daripada lima berkata, mahu melihat rangsangan monetari selanjutnya sekali gus menunjukkan sokongan yang makin berkurangan bagi program pelonggaran besar-besaran Bank of Japan.

Keputusan tinjauan itu dibuat ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga Jun lalu, menyaksikan pengembangan suku ketiga berturut-turut.

Dalam tinjauan itu, sebahagian besar firma Jepun melihat kemunculan semula virus Covid-19 menimbulkan risiko kemerosotan ekonomi pada separuh kedua tahun fiskal hingga Mac 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya