TASIKMALAYA: Seorang wanita muda meninggal dunia ketika menyertai pertandingan lumba lari dalam guni menerusi satu program di Mangkabumi, Tasikmalaya baru-baru ini.
Berdasarkan video yang dikongsi dalam media sosial, kelihatan wanita muda yang dikenali sebagai Rini, 29, terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika menyertai acara tersebut.
Video itu juga menunjukkan orang ramai bersorak kepada peserta pertandingan dengan Rini berada paling depan.
Namun, ketika hampir tiba di garis penamat, wanita itu tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terhentak pada tanah.
Orang ramai kemudiannya menghampiri mangsa dan cuba membantunya, namun Rini tidak sedarkan diri dan dia terus dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran sebelum disahkan sudah meninggal dunia.
Dalam pada itu, Ketua Polis Mangkabumi, Hartono mengesahkan insiden itu.
“Menurut keterangan keluarganya, Rini mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan ketika kejadian, dia baru dua bulan melahirkan anak.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan jenazah Rini sudah dikebumikan,” katanya seperti yang dilaporkan Detik News.