ISLAMABAD: Banjir di Pakistan tidak akan reda dalam masa terdekat berikutan dilanda hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan paras air kebanyakan sungai negara itu melimpah.
Lapor Arab News, jumlah mangsa terkorban akibat banjir yang bermula sejak pertengahan Jun lalu, sudah mencapai lebih 1,000 orang.
Banjir kilat susulan hujan monsun yang lebat menyebabkan tebing sungai pecah, memusnahkan jambatan serta menghanyutkan kampung, tanaman dan ladang di seluruh negara.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) angka kematian akibat banjir monsun di Pakistan kini mencecah 1,061 orang.
Malah, kata agensi itu, anggota tentera dan pasukan penyelamat juga sedang giat memindahkan penduduk yang terkandas.
Jelas NDMA, seramai 28 orang maut dalam tempoh 24 jam lalu dan pihak berkuasa masih berusaha untuk sampai ke kampung terputus hubungan di utara kawasan berbukit.
Meskipun monsun tahunan penting untuk pengairan tanaman dan menambah semula kapasiti tasik serta empangan di seluruh Pakistan, namun saban tahun ia turut membawa gelombang kemusnahan.
Menurut pegawai, banjir monsun tahun ini menjejaskan lebih 33 juta penduduk selain memusnahkan hampir sejuta rumah mereka.
NDMA memaklumkan lebih dua juta ekar tanaman musnah dan jalan raya seluas 3,451 kilometer (km) terjejas serta 157 buah jambatan dihanyutkan arus deras.
BENCANA KEMANUSIAAN
Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rehman menyifatkan banjir itu sebagai ‘bencana kemanusiaan disebabkan oleh iklim dengan kadar epik’
Pakistan juga mengisytiharkan darurat selepas lebih 30 juta penduduk terjejas akibat bencana itu sejak beberapa minggu lalu.
Malah, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Shahbaz Sharif merayu masyarakat antarabangsa bagi mendapatkan bantuan untuk menangani kerugian dialami akibat banjir.
Sabtu lepas, NDMA dalam satu kenyataan menyatakan beberapa kawasan di sepanjang Sungai Indus iaitu Kalabagh dan Chashma di Punjab ‘mungkin mencapai paras banjir yang sangat tinggi’ dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.
Sharif juga melawat wilayah Sindh di tenggara Pakistan pada Sabtu lalu dan menerusi sosial media menyeru perpaduan nasional dalam menghadapi banjir yang berkenaan.
Baru-baru ini, Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) menyumbang 950 tan makanan ke kawasan terjejas teruk di Pakistan.
Konsainan itu merupakan yang ketiga tiba dari Arab Saudi sejak musim tengkujuh bermula pada pertengahan Jun.
Negara-negara lain juga menjawab seruan Pakistan untuk bantuan antarabangsa, termasuk Britain memperuntukkan 1.5 juta pound (RM7.84 juta) bantuan banjir.
CAMPAK NOTA RAYU BANTUAN
BBC melaporkan, ratusan penduduk terkandas di seberang sungai di lembah Manoor di wilayah Khyber Pakhtunkhwa selepas banjir kilat melanda kawasan tersebut pada Jumaat lalu.
Bencana itu turut memusnahkan sekurang-kurangnya 10 jambatan dan puluhan bangunan di wilayah berkenaan.
Mangsa banjir juga bertindak mencampak kertas mengandungi nota merayu memohon bantuan.
“Kami memerlukan bekalan perubatan, tolonglah bina semula jambatan tersebut, kami kini tinggal sehelai sepinggang,” jelas kandungan nota itu.
Nota itu dicampak oleh penduduk kampung ke arah pasukan wartawan BBC ketika membuat liputan berita di kawasan tersebut.