BANGKOK: Seorang gelandangan mendapat perhatian meluas daripada pelbagai pihak selepas mengubah sebahagian daripada jejantas pejalan kaki menjadi ‘bilik persendirian’.
Perkara itu mula tular selepas seorang pengguna TikTok memuat naik satu video yang menunjukkan keadaan jejantas berkenaan yang diubah menjadi bilik oleh seorang lelaki gelandangan.
Lapor thethaiger, bilik itu dilengkap dengan tilam gabus, bantal dan langsir.
Selain itu, beberapa cawan plastik turut ditemukan, dipercayai digunakan oleh lelaki gelandangan itu untuk meminta sedekah daripada pejalan kaki yang melalui jejantas tersebut.
Namun, tidak lama selepas video itu tular, jejantas tersebut diserbu pihak berkuasa dan bilik gelandangan terbabit dirobohkan segera.
Menerusi media sosial, kebanyakan pengguna menyifatkan ‘bilik’ berkenaan agak selesa, biarpun pejalan kaki lalu-lalang di sana.
Malah, ada pengguna yang menyifatkan mereka seperti ‘masuka ke rumah orang’ ketika melalui jejantas berkenaan sehingga mencetuskan rasa tidak selesa.
Media tempatan melaporkan, gelandangan berusia 60 tahun itu mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan bilik berkenaan secara berperingkat.