LONDON: Seorang finalis Miss England mencipta sejarah apabila menjadi ratu cantik pertama yang bertanding tanpa memakai sebarang solekan.
Lapor CNN, Melisa Raouf, 20, yang merupakan pelajar kolej dari selatan London, mara ke separuh akhir pertandingan itu pada Isnin lalu selepas memilih untuk bersaing tanpa mekap.
Melisa kini akan bertanding pusingan akhir pada Oktober ini untuk merebut mahkota kejuaraan Miss England.
“Ia amat bermakna buat saya kerana saya merasakan ramai gadis dari pelbagai peringkat umur mengenakan solek hanya kerana berasa tertekan untuk berbuat demikian.
“Jika seseorang itu gembira dengan kulit mereka sendiri, kita tidak seharusnya memaksa mereka menutup wajah aslinya dengan solekan.
“Kelemahan kita menjadikan siapa kita sebenarnya dan perkara itulah menjadikan setiap individu unik,” katanya.
Menurut Melisa, walaupun dia mula memakai solekan pada usia muda namun memutuskan untuk mengelak tradisi itu dalam pertandingan tersebut.
“Saya tidak pernah merasakan saya memenuhi piawaian kecantikan.
“Saya kini menerima kecantikan kulit saya sendiri dan sebab itulah memutuskan untuk bertanding tanpa mekap,” jelasnya dalam satu temubual.
Mei lalu, Melisa memuat naik sekeping gambar swafoto di Instagram dari pusingan ‘wajah tanpa solekan’ di pertandingan itu, dengan catatan tertera ‘dia menerima ketidaksempurnaannya’.
Sementara itu, pengarah pertandingan Miss England, Angie Beasley dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memperkenalkan pusingan ‘Bare Face Top Model’ pada 2019 kerana kebanyakan peserta menghantar gambar disunting dengan solekan tebal.
“Jadi, kami mahu melihat individu sebenar di sebalik solekan tersebut,” katanya.
Menurut penganjur, Melisa merancang untuk tidak mengenakan solekan sekali lagi pada pusingan akhir pada Oktober ini.