ADDIS ABABA: Dua juruterbang yang tertidur semasa dalam penerbangan berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kemalangan berlaku.
Lapor Daily Mail, insiden ajaib itu melibatkan pesawat ET343 milik Ethiopian Airlines yang melakukan penerbangan dari Khartoum ke Addis Ababa pada 15 Ogos lalu.
Menurut Aviation Herald, Kawalan Trafik Udara cuba menghubungi juruterbang tersebut, namun tidak berjaya.
“Dua juruterbang itu hanya terjaga daripada tidur selepas autopilot pesawat terputus sehingga membunyikan penggera amaran.
“Mereka kemudiannya berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat dan kekal di landasan selama dua jam setengah, sebelum berlepas untuk penerbangan seterusnya,” katanya.
Biarpun pesawat tersebut mendarat melebihi landasan, dua juruterbang itu berjaya mengawal keadaan.
Insiden itu menyebabkan ramai terkejut dan menyifatkan tindakan juruterbang tersebut tidak profesional dan berbahaya.
“Semoga kedua-dua juruterbang dipecat dan pihak berkuasa penerbangan memulakan siasatan mengenai jadual bertugas anak kapal dan syarikat penerbangan lain,” tulis pengguna media sosial.